Bacaan Kandhar Anubhūti

Kappu

Hati yang sekeras batu pun mencair
Menerusi kebajikan, kepada yang memohon sarana, anugerah Shanmukha;
Semoga bunga malai kata manis ini kepada-Nya itu jaya hendaknya
Ke bawah duli baginda yang bertangan lima kita menyembah.

"Sembah patik ke bawah duli baginda yang bertangan lima (Śrī Vigneśvara), untuk pemahsyuran bunga malai ini, tenunan dari bahasa Tamil nan indah, untuk dewa Shanmukha, yang seseorang itu memohon sarana kepadanya, yang memandikan kelembutannya yang mencairkan hati yang sekeras batu".

Nūl

Burung merak yang menari, lembing, dan ayam jantan yang cantik
Maka, untuk menyanyi ini, kurniakan bagiku kebaktian ini sebagai tugas yang suci;
Wahai adinda Sang Vinayaka tidak terbanding! Yang menetak di peperangan,
Asūra yang mencari, Gajamūkha, dengan bermuka gajah.

"Wahai tuanku Sri Subramanya, adinda kepada tuanku Sri Ganesa, yang menghapuskan asura Gajamukha, dalam peperangan, yang senantiasa mencari gaduh dengan dewa-dewa untuk dicabar bertarung! Kurniakan kepadaku kebaktian nyanyian kekawin pujian-Mu ini sebagai tugasan suci bagiku, seperti, 'merak menari, lembing, dan ayam jantan nan ayu".

Bukankah tuanku ini?! Kenyamanan, bebas kesakitan dan yoga,
Pemberi ucapan yang baik, manis tutur kata, seperti juga pencipta Lila?
Kebajikan yang menghilangkan sikap keakuan - Moksa,
Ku pohon, ajari aku, wahai Muruga! Wahai tuanku pemerintah Devaloka!

"Wahai tuanku, tidakkah tuanku ini kenyamanan, bebas dari kesakitan serta merupakan yoga, yang berniat cuma untuk kebajikan yang berbicara kebajikan kepada semua, yang membuat perkara semua menjadi sokongan suci belaka (lila). Ku memohon supaya diajari kepadaku sikap yang tidak mementingkan diri dan kebebasan hati dari ikatan duniawi, wahai Muruga, pemerintah Devaloka!"

Adakah ia bumi, air, api, angkasa atau udara?
Adakah ia indriyajñana, atau Chaturveda yang dibaca?
Adakah ia keakuan, minda atau belahan daerah?
Di mana aku telah diterima, wahai Shanmukha?!
Apakah itu hakikat?

"Wahai dewa Shanmukha! Apakah benda yang boleh digelar sebagai Kesahihan Abadi? Adakah ia bumi, air, api, udara atau angkasa? Atau ia adalah keadaan apabila pengetahuan deria indria timbul? Atau ia adalah bacaan empat Veda suci yang terkumat-kamit di mulut? Atau ia adalah prinsip keakuan; atau minda; atau tempat Engkau muncul menerimaku sebagai siswamu?"

Terperangkap dengan pasungan bergelar isteri dan keluarga
Akan terhapuskah aku? Wahai dewa, adilkah hal begini seperti kelihatannya?
Gunung Krauncha dan hati Sūra, yang timbul dengan teman-teman penasihat
Vel-Mu, Velayudha, engkau lepaskan, menembus lalu.

"Wahai Velayudha! Engkau melepaskan Sakthi-Mu, Vel (lembing) membelah menerusi hati Asura, Sūrapadma, yang bersama dengan saudara-maranya, bangkit berperang menentang-Mu, begitu juga Gunung Krauncha. Maka, yang demikian itu, haruskah aku perlina terperangkap dalam ikatan kusut wanita bergelang kaki (isteri) dan anak-anak (ikatan grihastam? Adilkah begini, wahai dewa??"

Mahamaya, dewa mampu memusnahkannya
Namanya, Shanmukha yang aku sebut-sebut
Rumah, kemewahan dan wanita masih ku fikirkan penuh teruja
Tidak bebas aku dari Maya ini, aku sengsara!

"Dewa mampu memusnahkan Mahamaya. Ku sebut-sebut namanya, 'Shanmukha, Shanmukha', namun fikiranku masih terikat dengan kediaman, kemewahan dan wanita. Aku belum bebas dari dunia Maya penuh sengsara ini!"