Falsafah dan Amalan Smrtha

Saguna Brahman dan Nirguna Brahman

Menurut gerakan ini, Brahman atau Hakikat Tertinggi itu melampaui segala rupa dan dewata. Pengikut gerakan ini mengikut falsafah Hindu ortodoks yang bermaksud mereka menerima kitab suci Veda serta konsep ontologi Atman dan Brahman.

Tradisi ini menerima dua konsep Brahman iaitu Saguna Brahman yang bermaksud Brahman yang disekutukan dan Nirguna Brahman iaitu Brahman yang tiada sekutu. Nirguna Brahman ini adalah Hakikat yang tidak berubah manakala Saguna Brahman ini menjadi asas kepada kesedaran terhadap Nirguna Brahman. Konsep Saguna Brahman ini dipertimbangkan dalam tradisi ini sebagai perlambangan yang berguna untuk mereka yang masih berada dalam perjalanan rohaniah. Saguna Brahman ini akan ditinggalkan oleh mereka yang sudah dicerahi jiwa iaitu apabila mereka menyedari jati diri jiwa mereka itu berkait dengan Nirguna Brahman.

Seorang pengikut aliran ini boleh memilih istadevata yang Saguna seperti Viṣṇu, Śiva, Durga, Surya dan Gaṇeśa atau lain-lain. Hal ini cuma dipandang sebagai sesuatu yang sementara sahaja sebelum seseorang itu memahami Nirguna Brahman serta perkaitannya dengan Atman dalam jiwa mereka.

Pañchāyātana Puja

Seorang Smrtha itu mengamalkan pemujaan jenis ini. Dalam pemujaan ini, satu atau lebih daripada lima dewata yang tersebut itu dijadikan bahan tumpuan. Lima lambang bagi Brahman ini disinggahsanakan atas satu talam besi yang disebut sebagai Pañchāyātana. Iṣtadevata pilihan bagi Smartha itu akan disinggahsanakan di tengah-tengah.

Susunan yang serupa juga dilihat di kuil-kuil zaman pertengahan. Sanggar dalam yang menjadi singgahsana dewata kepala dikelilingi oleh sanggar-sanggar dewata kecil lain. Sesetengah penganut dari aliran ini di India Selatan menambah dewa keenam iaitu dewa Kartikeya. Menurut kepada Basham, "ramai dalam kalangan orang Hindu berstatus tinggi menyenangi cara pemujaan Smrtha berbanding dengan cara pemujaan Saiva dan Vaisnava".

Śankaracarya dan Advaita Vedanta

Pada tradisinya, Śrī Adi Śankaracarya (abad ke-8) dianggap sebagai guru agung dan tokoh pembaharu dalam aliran Smrtha.

Menurut kepada Hiltebeitel, tokoh ini telah mengasaskan tafsiran monisme bagi Upanishad. Hal ini kemudian menjadi batu loncatan kepada tradisi Smrtha yang disuburkan kembali:
Pada amalinya, Adi Śankaracarya menyokong penyatuan antara Advaita dan Smrtha Ortodoks. Hal ini turut menyokong teori varṇāśramadharma sebagai takrifan bagi karma. Amalan pemujaan talam lima dewata kemudian diasaskan bagi menyatukan pelbagai amalan kebaktian yang bercanggahan. Melalui amalan ini, seseorang boleh memuja dewata pilihannya di samping empat dewata yang lain.