Sejarah Kaum Smṛtha

Alf Hiltebeitel menyatakan bahawa teks-teks Vedanga adalah teks Smrti yang dikarang pada separuh abad kedua zaman Veda dan berakhir sekitar 500 SM.Teks-teks Vedanga ini termasuklah teks Kalpa (Vedanga) yang mengandungi Srautasutra, Gṛhyasutra dan Dharmasutra. Kebanyakan teks ini sudah diperbaiki dari semasa ke semasa selepas berakhirnya zaman Veda.

Hilbeitel berpendapat bahawa Gṛhyasutra dan Dharmasutra dikarang antara 600 SM - 400 M. Kadangkala teks-teks ini digelar sebagai Smṛthasutra yang menjadi akar bagi tradisi Smṛti. Teks Smrti ini menerima juga ilmu dari Sruti (Veda), namun mereka cenderung untuk menafsirkannya dalam pelbagai cara. Hal ini menimbulkan enam darśana atau pandangan ortodoks kepada falsafah Hindu. Daripada semua ini, Mimaṃsa dan Vedanta atau kadangkala dikenali sebagai Smṛtha menekankan Veda dengan sebab dan pramāṇa lain-lain.

Berbeza dengan aliran-aliran Haituka yang menekankan kepada hetu atau sebab bebas kepada Veda sambil menerima kemutlakan Veda. Daripada dua tradisi Smṛtha itu, Mimaṃsa menumpukan kepada tradisi-tradisi upacara mengikut kitab suci Veda, manakala Vedanta menumpukan kepada tradisi pengetahuan Upanishad.

Sekitar permulaan abad masihi, dan selepasnya, berlaku persenyawaan (syncretism) antara aliran-aliran Haituka yang terdiri daripada aliran Ñaya, Vaiśesika, Saṃkya dan Yoga dengan aliran-aliran Smṛtha yang terdiri daripada aliran Mimamsa dan Vedanta. Semua aliran ini bergabung pula dengan aliran-aliran bertuhan iaitu aliran Bhakti dan Tantri. Seterusnya timbul pula aliran Śaiva, Vaiṣṇava dan Śakta.

Hilbeitel dan Flood menjejak asal-usul tradisi Smrtha yang dihidupkan kembali pada awal zaman klasik Hindu, khususnya dengan tafsiran Vedanta yang bersifat tunggal yang dikenali sebagai Advaita. Pada ketika ini, pelbagai tradisi agama di India muncul hasil dari interaksi antara Brahmanisme dengan tradisi-tradisi tempatan.

Sintesis

Tradisi Smrtha yang disuburkan kembali ini cuba untuk mengintegrasikan pelbagai amalan kebatikan yang sering bercanggah dengan buah fikiran dan pengalaman rohaniah Advaita mengenai Atman sebagai Brahman.

Hasil daripada keadaan itu termasuklah amalan pañcayātanapuja atau pemujaan lima sanggar. Hal ini bermaksud seorang Hindu itu boleh memberikan tumpuan kepada mana-mana dewata saguna yang dipilih olehnya dikenali sebagai iṣtadevata seperti Śiva, Durga, Viṣṇu, Surya atau Ganeśa dalam perjalanan rohaninya untuk menyedari Brahman yang nirguna.

Pertumbuhan tradisi ini bermula pada zaman Gupta sekitar abad ke-4 dan ke-5 dan nampaknya didominasi oleh kelompok Dvija, terutamanya kelompok Brahmin dari masyarakat India awal zaman pertengahan. Tradisi ini bersaing juga dengan tiga tradisi Hindu utama lain. Buah fikiran dari tradisi ini dari segi sejarahnya memang berpengaruh dan kreatif. Antaranya adalah konsep Harihara iaitu separuh Siva dan separuh Visnu serta Ardhanareśvara iaitu dewata separuh lelaki serta separuh wanita. Ramai dalam kalangan sarjana utama tradisi Saiva, Vaisnava, Sakta dan Bhakti pun terbit dari dalam kalangan pengikut aliran Smrtha.

Pengiktirafan terhadap Smṛtha sebagai Tradisi

Sarjana zaman pertengahan seperti Vedanta Desika dan Vallabhacarya mengiktiraf tradisi Smrtha sebagai saingan kepada Vaiṣṇava dan lain-lain tradisi. Menurut Jeffrey Timm, sebagai contoh, dalam Tattvarthadipanibandha, Vallabhacarya menyatakan bahawa, 'Kesimpulan-kesimpulan yang umumnya bercanggahan menjadi tidak bercanggah sekiranya ia diambil dari konteks-konteks yang ada seperti Vaisnava, Smrtha dan lain-lain.'

Brahmin Smṛtha

Brahmin Smrtha ini berbeza dengan Brahmin yang mengkhusus dalam sastera agama yang bukan kitab suci seperti Tantra seperti Brahmin Adi Śaiva, Sri Vaiṣṇava dan Saiva Kaśmir. Walau bagaimanapun, identiti ini tidak ditakrifkan dengan jelas. Terdapat juga kelompok seperti Brahmin Smrtha Saivagama yang digelar juga sebagai Brahmin Sthanīka atau Brahmin Sthanīka Tulu.